Manusia itu insan. Terdedah
kepada kesusahan dan kesakitan. Terdedah kepada dukacita dan sengsara. Sehebat
mana pun dia. Sebesar mana pun pangkatnya. Insan bukan tuhan untuk kebal dari
panahan sengsara dan duka. Jika tidak menimpa pada hartanya, menimpa pada
tubuhnya. Jika tidak pada tubuhnya, menimpa pada maruahnya. Jika tidak pada
maruahnya, pada perasaannya yang derita disebabkan pelbagai punca. Mungkin kehilangan
orang yang dicinta, atau dikhianati oleh orang disayangi. Segala mungkin.
Itulah hakikat kehidupan insan dan itulah hakikat kehidupan setiap makhluk.
