Rabu, 9 Januari 2013

Rintihan.....



Manusia itu insan. Terdedah kepada kesusahan dan kesakitan. Terdedah kepada dukacita dan sengsara. Sehebat mana pun dia. Sebesar mana pun pangkatnya. Insan bukan tuhan untuk kebal dari panahan sengsara dan duka. Jika tidak menimpa pada hartanya, menimpa pada tubuhnya. Jika tidak pada tubuhnya, menimpa pada maruahnya. Jika tidak pada maruahnya, pada perasaannya yang derita disebabkan pelbagai punca. Mungkin kehilangan orang yang dicinta, atau dikhianati oleh orang disayangi. Segala mungkin. Itulah hakikat kehidupan insan dan itulah hakikat kehidupan setiap makhluk.

Apabila insan ditimpa derita, dikepung oleh sengsara, dihambat oleh duka, dia akan berusaha mencari tempat bergantung. Mencari dahan berpaut. Mencari teduhan untuk berlindung. Jiwa dan fikirannya melayang dan meraba. kepada siapakah hendak aku mengadu? Siapakah yang boleh menolong daku? Siapakah yang mampu untuk mengeluarkan aku dari kemudaratan ini?


Bagi insan yang renggang dari Tuhan, dia akan terus terbayang penolong itu temannya atau orang besar, atau orang berharta, atau orang berkebolehan yang dirasa dapat membantunya. Jika dia sakit, pertama yang terbayang dalam fikirannya wajah para pengubatnya. Jika dia kesesakan harta, dia terbayang sumber-sumber yang boleh dia dapatkan wang. Jika ditindas, dia terbayang wajah mereka yang berkuasa yang dia rasa dapat membantunya. Demikian seterusnya.


Allah mengingatkan manusia tentang hal ini dengan firmanNya:
(maksudnya) “Wahai manusia, diberikan untuk kamu satu perumpamaan, maka dengarlah mengenainya; sesungguhnya mereka yang kamu seru selain dari Allah itu, tidak sama sekali dapat menciptakan seekor lalat pun walaupun mereka berpakat untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat menyelamatkan kembali. (maka) lemahlah yang meminta (untuk ditunai hajatnya), dan lemahlah yang diminta (untuk menunaikan hajat)”.
(Surah al-Hajj: ayat 73).
Demikian perumpamaan yang Allah berikan, gambaran kepada mereka yang bergantung dan menyeru selain Allah dalam mengharapkan pertolongan.

Allah mengeluarkan insan dari kesusahan dengan pelbagai cara dan rupa yang dikehendakiNya. Jarak antara bumi dan langit amat jauh. Masih tidak dapat dihitung oleh manusia. Namun, jaraknya menjadi begitu dekat disebabkan “doa” yang mustajab dari hamba yang kesusahan. Dengan seruan ‘Ya Allah! Tolonglah daku!’ maka pantas ia sampai ke langit dan pertolongan Allah pun datang dengan cara dan kehendakNya. Berdoalah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar!

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan